Monday, November 21, 2011

Nangka Letak


Inilah yang dkatakan berbudi pada tanah.

Sedikit cerita nangka letak ni. Asal Nangka Letak ni nangka madu. Kami beli nangka madu yang dijual ditepi jalan di Bangi. Sebungkus lima ringgit kalau tak silap.  Maklumlah nangka sedap, sekali hadap dah habis. Aku saja suruh Adam tanam bijinya ditepi pagar rumah. Siapa sangka biji nangka yang ditanam tumbuh dengan subur dan membesar dengan jayanya. Hasilnya, berbuah tidak henti-henti. Semua jiran dah merasa hasil nangka letak ni. Ada jiran yang menanam biji nangka letak ni dan dah pun merasa hasilnya.Katanya tidak semanis nangka induk. Itulah namanya rezeki, jika berkongsi ia semakin bertambah.

Thursday, August 18, 2011

Thursday, June 23, 2011

Mee Hoon Goreng Mudah


Mee Hoon mudah, cepat dan sedap.

Bahan-bahannya:
1 bungkus Mee Hoon 400gm. Apa-apa jenama yang disukai
1 biji bawang besar @ 4 ulas bawang kecil- mesin@ tumbuk
3 ulas bawang putih- dimesin@ tumbuk
3 susu cili giling/boh jika suka
2 susu besar udang - ditumbuk @ dimesin sekali bersama bawang
1 keping dada aya - hiris sederhana besar @ ikut suka masing-masing@ boleh ganti dengan udang @ sotong. Ikut kegemaran masing-masing.
Sayur - Kubis, sawi dan taugeh @ apa-apa sayur yag disukai
Daun bawang jika suka
4 sudu besar minyak masak - saya guna minyak zaiton
Kicap pekat - ikut suka
Kicap cair- ikut suka
Sos Tiram, sos cili - ikut suka
Air panas - 1 cawan
Garam, gula sesedap rasa

Cara-caranya:
1. Rendam Mee Hoon dalam air sejuk sehingga lembut
2. Tumis bawang merah, bawang putih, cili boh dan udang kering
3. Goreng sehingga naik baunya. Masukkan dada ayam dan goreng sehingga ayam lembut.
4. Masukkan kicap pekat, kicap cair dan segala jenis sos, garam dan gula.  Apabila sudah sebati, masukkan mee hoon. kacau rata dengan bahan-bahan tumis.
5. Apabila telah rata, masukkan air panas dalam 1 cawan (ini jika mee hoon masih belum benar-benar lembut, jika mee hoon telah lembut jangan masukkan air panas kerana mee hoon akan hancur dan patah-patah).
6. Apabila mee hoon sudah lembut masukkan semua jenis sayur-sayur. gaulkan sehingga sayur layu.
7. Rasalah masin @ manis mengikut citarasa masing-masing. Tambah garam @ kicap mengikut rasa yang dikehendaki. Akhir sekali masukkan daun bawang yang telah dipotong. Gaul rata.
8. Matikan api, sedia untuk di makan.

Selamat mencuba.
Tips: Boleh tabur cili merah@ hijau yang telah dihiris nipis@ telur dadar dan bawang goreng.

Kuih Koaci Cik Norlia



Hasil tangan profesional. Kuih koaci yang sedap rasanya dan cantik rupanya.

Menurut chef tiada sukatan tertentu semuanya main campak2,uli2 sesedap tangan dan menjadi.

Resipi inti kelapa

2 cawan kelapa parut
1 keping gula Melaka/gula merah pun boleh @ gula perang.
1 1/2 cawan gula putih (sesiapa yang suka manis boleh tambah ikut citarasa masing2.
3 cawan air
Sedikit garam
2 helai daun pandan ( siat2 dan simpulkan)

Cara:
Masukkan semua bahan kedalam kuali, kacau hingga pekat dengan api sederhana.
Sejukkan dan sedia untuk diguna.

Wednesday, May 18, 2011

Cerita di dapur 1



Acuan roti jala yang telah dipotong hujungnya

Saya saja nak kongsi cerita roti jala ni dengan orang-orang diluar sana. Seumur hidup saya tidak pernah membuat roti jala,bila teringin nak makan saya merujuk resipi disebuah majalah wanita terkenal (tak boleh sebut nama majalah tu). Melalui gambar yang disiarkan nampak cantik dan resipinya senang sangat. Saya pun mengikut resipi yang diberi tanpa sedikitpun pengurangan dan penambahan, apabila semua siap dibancuh saya pun memasukkan dalam acuan roti jala yang baru dibeli. Kuali dah tersedia tetapi adunan tidak jatuh/keluar dari lubang acuan roti jala. Saya terus terfikir yang saya membeli salah acuan, tanpa berfikir panjang terus saya potong setiap hujung acuan roti jala tersebut. Adunan yang terdapat didalam acuan tu jatuh setitik demi setitik. Alamak...roti jala saya tak ada jala tapi jadi polka dot kuning dalam kuali.

Moralnya: Jangan lurus bendul mengikut resipi dalam majalah, tak kiralah majalah tu majalah terkenal ke, majalah masakan ke, ada gambar cantik ke, apa yang penting gunakan akal sendiri. Bagi pengelola majalah pula, lain kali bagilah tips untuk memudahkan pembaca yang pertama kali mencuba resipi2 yang terdapat didalam majalah terbitan syarikat anda, lebih2 lagi jika majalah anda menayangkan gambar2 yang cantik dan menyelerakan. Jangan2 letak gambar lain resipi lain.Menganiaya pembaca .

Kuih Cara

Thursday, April 7, 2011

Pizza Moscow



Asam Pedas Kepala Salmon



Resipi diambil daripada buku masakan terbitan Alaf 21

Bahan-bahan:

Kepala Ikan Salmon - terpulang nak berapa ketul
13 tangkai cili kering - kisar
2 biji bawang besar -kisar. Resipi asal bawang merah
2 ulas bawang putih - kisar.Saya isi lebih
2 cm halia - kisar. Saya tak ukur
1 sudu kecil kunyit serbuk - jika letak kunyit hidup lagi sedap
Sedikit belacan
2 batang serai diketuk
2 biji terung bulat dibelah empat - saya gunakan terung panjang.
1 batang daun kesum . saya isi banyakkk sebab saya suka..
1 sudu kecil kerisik - saya isi lebih
Sedikit air asam jawa . saya gantikan dengan air limau segar sebab tiada asam jawa
Minyak masak
Garam dan gula secukup rasa

Cara membuatnya:

1. Panaskan minyak masak dan tumiskan semua bahan2 yang telah dikisar.
2. Masukkan air asam, daun kesum dan serai.
3. Apabila mendidih, masukkan garam,gula , terung dan kepala ikan. Masak hingga mendidih @ sehingga ikan masak.
4. Akhir sekali masukkan kerisik dan masak lagi selama 3-5 minit.
5. Sedia untuk dihidang.

Selamat Mencuba

Cincau




Inilah gaya rupa cincau yang telah keras dan sedia untuk diminum. Tercapai jugak hajat Julia untuk melihat daun cincau kering menjadi cincau yang boleh membasahkan tekak yang mengidam. Sebenarnya, cincau kering ni masih kekal didalam stor jika saya tidak melakukan operasi menghabiskan stok sebelum berpindah balik ke tanah air.
Resipi cincau yang telah diberikan oleh Pn Julia seperti berikut:

Bahan-bahan:

1 paket agar2 serbuk @ gelatine (mungkin jika guna gelatin tekture cincau lebih liat)
500 gm gula
375 ml air
4 helai daun pandan
1 gengam daun/ranting/batang cincau kering( lebih banyak lebih bagus) - saya diberitahu daun cincau kering ini boleh dibeli dikedai sinseh(kedai ubat cina)gambar seperti entri di bawah.

Cara-cara:

1. Panaskan air dan larutkan agar-agar dan gula.
2. Masukkan daun pandan dan daun cincau. Renehkan bahan-bahan ini dengan menggunakan api sederhana selama setengah jam atau sehingga air kehitamana.
3. Angkat dan sejukkan. Setelah sejuk boleh disimpan didalam peti ais. Sedia untuk diminum pada bila-bila masa.

Selamat Mencuba

Monday, April 4, 2011

Buah Melaka Mudah



Lagi edisi menghabiskan stok.

Bahan-bahan:

1 kampit 500 gram tepung pulut (sebarang jenama)
2 keping gula Melaka/nipah/keping/kabung
4 helai daun pandan (blend untuk dijadikan air pandan)
Sedikit pewarna hijau (jika suka)
Sedikit garam
Air mengikut keperluan
Kelapa parut
Air Panas
Cara:
1. Kelapa parut digaul dengan sedikit garam(ketepikan)
2. Gula Melaka/nipah/keping/kabung dipotong dadu.(saiz mengikut selera masing-masing kerana saiz gula mennetukan saiz buah melaka)
3. Blend daun pandan dengan segelas air dan tapis.(jika hendak menggunakan perisa pandan pun boleh tetapi kuih akan lebih sedap jika menggunakan daun pandan asli)
4. Masukkan tepung pulut didalam mangkuk dan tuangkan air daun pandan (campur sedikit pewarna hijau jika hendakkan warna kuih yang terang)sedikit-sedikit.
Tambahkan air megikut keperluan iaitu sehingga bancuhan tepung pulut boleh dibulat-bulatkan.
5. Bulat-bulatkan dan letakan gula melaka yang telah didadukan tadi. Buat sehingga habis.
6. Panaskan air sehingga mendidih, apabila air benar2 telah mendidih/mengelegak masukkan buah melaka yang telah dibulat-bulatkan tadi, tunggu sehingga buah melaka timbul barulah diangkat dan digolek-golekkan didalam kelapa parut.
7. Hidangkan dan sedia untuk dimakan.

Selamat mencuba.

Biskut Cornflake Madu Mudah



Edisi menghabiskan stok. Menggunakan segala yang ada dengan kadar maksimum a.k.a menghabiskan stok yang ada.

Bahan-bahan:

6 cawan emping jagung/cornflakes
1/2 cawan bijan @
1/2 cawancoklat rice (jika suka)@
1/2 cawan badam tumbuk (jika suka)@
sebarang jenis kacang
3/4 cawan gula
4 sudu besar madu
1/2 cawan butter/margerine
1 sudu kecil esen vanila
secubit garam

Cara-cara:
1. Ramas conrnflake kasar-kasar
2. Kekacang hendaklah di kisar kasar2
3. Panaskan kuali/periuk, masukkan butter/margarine, apabila sudah cair masukkan gula, madu,esen vanila dan garam.
4. Gaul sebati apabila sudah tutup api dan masukkan cornflakes, bijan,kekacang, coklat rice dan gaul rata.
5. Masukkan kedalam paper cup dan bakar selama 5-10 minit dengan kepanasan oven 175 darjah celcius @ bakar sehingga nampak kekuningan.

Selamat Mencuba.

Cincau


Cincau yg masih panas, belum keras lagi

Pokok/daun/ranting/Cincau kering

Merebus cincau kering

Apam Beras Mendap



Oklah saya saja aje nak tayang gambar apam beras mendap ni. Sebenarnya salah satu kuih kegemaran saya apam beras, kalau pergi ke pekan sehari dan pasar tani saya mesti cari apam beras ni. Kononnya hendaklah mencuba sendiri, kebetulan ada tapai didalam peti ais.
Hasilnya seperti diatas, apam tidak naik sebaliknya padu dan liat aje teksturnya. Rupa-rupanya jika kita hendak membuat apam beras menggunakan tapai, tidak boleh meggunakan tapai yang telah disimpan didalam peti ais. Lain kali sesiapa yang ingin mencuba apam tapai pastikan menggunakan tapai yang belum disimpan didalam peti ais.

Thursday, March 31, 2011

Waffle


Kepala Salmon Masak Kari



Bahan-bahan:

Kepala Ikan Salmon, ikut suka berapa ketul
Santan secukupnya ikut selera masing2- saya gunakan 1 paket santan serbuk
4 sudu besar rempah kari ikan
2 biji tomato - dibelah 4
2 biji cili merah dibelah 2
1 biji terung panjang dipotong 4
Sedikit biji sawi,halba,kulit kayu manis dan daun kari
Minyak masak , garam dan gula secukup rasa

Bahan-bahan yang dikisar:
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1 batang serai
2 cm halia
2 biji cili merah
Sedikit udang kering- saya letak 1 sudu besar

Cara-cara:

1. Panaskan minyak dalam perik dan tumis bahan kisar hingga naik bau.
2. Masukkan daun kari, biji sawi, halba, kulit kayu manis dan rempah kari.Goreng hingga garing atau terbit minyak. Masak gunakan api sederhana atau perlahan, jika terlalu kering masukkan sedikit air dan masak hingga terbit minyak.
3. Kemudian masukkan santan, kacau selalu supaya tidak pecah santan atau naik berminyak.
4. Akhir sekali masukkan ikan, terung,cili merah, tomato garam dan asam gelugur. Masak hingga keluar minyak.

Wednesday, March 30, 2011

Laksam


Resipi 1


Resipi 2

Satu lagi kegemaran kami seisi rumah ialah laksam. Banyak kali dah saya mencuba resipi laksam ni tetapi tak semua percubaan saya itu menjadi. Terkini , saya menggunakan resipi pertama, tak tahu dimana silap bancuhan saya tak menjadi ( hasilnya seperti diatas. Oleh kerana kuah dah buat saya bancuh sebungkus lagi tepung beras menggunakan resipi ke 2.

Memasak ni kadang2 ikut perasaan jugak, kalau memasak waktu jiwa kacau , tak menjadilah masakan tu..

Resipi 1 (ambil daripada internet dan hampir sama dengan resipi Dik Nor)

Bahan-bahan:

3 cawan tepung beras
1/2 cawan tepung gandum
2 sudu besar tepung jagung
5 cawan air suam (agak2 sendiri, jika cair tambah tepung beras sedikit @ jika sebaliknya tambah air suam sedikit)
secubit garam

Pengukus, tudung periuk atau sebarang pinggan leper

Cara:

1. Campurkan semua bahan dalam mangkuk adunan dan tapis.
2. Panaskan pengukus, apabila air telah mendidih letakkan pinggan leper @ tudung periuk leper yang telah disapu sedikit minyak kedalam pengukus, selepas itu tuangkan adunan keatas pinggaln leper tadi. Tutup dan biarkan 5-8 minit.
3. Tanda laksam telah masak ialah adunan yang dikukus akan mengelembung atau berombak2.
4. Angkat dan gulung.
5. Hasilnya seperti diatas.
Potong-potong dan hidangkan bersama kuah laksam.

Resipi 2 ( Resipi Puan Faz disertakan dengan dema)

Bahan-bahan:

1 bungkus tepung beras 500gm (seeloknya cap teratai)
Air secukupnya
Sedikit garam

Cara:

Bancuh tepung beras dan masukkan garam.
Tips: Cara menentukan tahap kecairan adunan ialah dengan menggunakan senduk. Adunan tepung beras melekat nipis pada senduk yang digunakan.

Kukusan hendaklah dipanaskan, didihkan air kukusan, masukkan adunan didalam loyang @ tudung periuk leper @ apa2 acuan yang leper.Sapukan minyak sedikit pada loyang yang digunakan.

Tanda laksam masak ialah apabila laksam yang dikukus mengelembung(macam air panas yang mengelegak)

Angkat dan gulung.

Kuah

2 ekor ikan makeral sejuk beku( kalau di Malaysia guna ikan kembung lagi sedap)
3 keping asam keping
Garam secukup rasa

Rebus ikan bersama bahan2 tadi dan kisar. Tulang ikan dikisar dan tapis.

1 kotak santan segera (jika ada santan segar lagi sedap)
3 ulas bawang putih - ditumbuk lumat
2cm halia -ditumbuk lumat
Garam dan gula secukup rasa

Campurkan santan, ikan yang telah dikisar, halia, bawang putih. Jerang sehingga mendidih, masukkan garam dan gula mengikut citarasa masing-masing.

Bahan-bahan ulam:
Daun kesum - dihiris halus
Bunga kantan - dihiris halus
Taugeh- buang ekor
Mentimun- dipotong halus/memanjang
Lada kecil- tumbuk lumat
Belacan - bakar ( boleh juga belacan ditumbuk bersama lada kecil)

Apabila menghidang, potong laksam, masukkan bahan ulam-ulaman dan tuangkan kuah.

p/s Bagi yang mengidam bolehlah mencuba resipi ringkas ni, memang berbaloi.

Dua2 resipi pernah saya cuba, resipi pertama ada kemungkinan tidak menjadi (seperti dalam gambar) resipi kedua tidak pernah tak menjadi (gerenti jadi) tetapi dari segi rasa, resipi pertama lebih lembut. So sesiapa yang berminat bolehlah mencuba mana2 resipi

Inti kelapa.



Inti kelapa menggunakan gula melaka/gula nipah keping


Inti kelapa yang dimasak menggunakan gula merah asli.Obses dengan gula merah asli ini, hasilnya inti kelapa menjadi hitam gelap kerana gula merah yang terlalu banyak.

Salam,

Baru perasan dapur dah lama tak berasap. Baru-baru ini saya mendapat bekalan gula merah, tidak sedar menjadi terlalu obses, hasilnya sangatlah tidak memuaskan.
Jangan terlalu obses terhadap sesuatu kerana hasil yang keterlaluan selalunya tidak sempurna.

Inti kelapa ini tiada sukatan. Bahan-bahan yang mesti ada ialah kelapa parut, gula, gula merah/ gula nipah/gula keping, air, daun pandan. Jika suka isi sedikit garam dan bunga cengkih.

Letakkan/jerangkan diatas api dengan kepanasan sederhana dan masak sehingga pekat. Kebiasaannya mengambil masa 30 minit ke 1 jam.

Thursday, February 24, 2011

Ikan Makeral Goreng



Ikan Makeral batik ini adalah satu-satunya ikan yang hampir sama dengan ikan kembong. Waktu di Stockholm dulu ikan kembung sejuk beku senang nak dapat sebab ada kedai Thai. Bekalan ikan, sayur-sayur dan buah-buahan yang biasa dengan selera orang Melayu diterbangkan khas dari Thailand. Di Moscow barang-barang ini ada tetapi agak susah untuk pergi ke kedai yang menjual barang tersebut memandangkan trafik yang tak pernah surut siang dan malam. Setakat ini belum jumpa ikan kembung di Moscow.
Oleh itu suka atau tidak makan jugaklah ikan makeral batik ni.
Cara untuk menghilangkan hanyirnya apabila digoreng saya gunakan stail orang2 pantai timur.

Bahan-bahan:

4 ekor ikan makeral batik. (potong ikut suka)
7 keping asam gelugur/keping
Sedikit garam
Air untuk merebus
Minyak untuk mengoreng

Cara:
1. Basuh ikan dengan air garam @ cuka @ tepung gandum. Tujuannya untuk mengurangkan rasa dan bau hanyir ikan.
2. Masukan ikan, asam gelugur/keping , garam kedalam periuk.
3. Masukkan air sehingga ikan tenggelam @ air separas ikan dan rebus sehingga air agak kering dan ikan lembut.
4. Toskan ikan.
5. Panaskan minyak dan goreng ikan yang telah direbus sehingga garing.
6. Angkat dan sedia untuk dimakan bersama nasi putih.
7. Bagi sesiapa yang suka pedas boleh membuat sambal tumis dan masukkan ikan makeral yang telah digoreng tadi.

Masak Rempah Hati Lembu



Resipi masak hati lembu ni saya ambil daripada MyResipi, kalau tak silap resipi Deana, tetapi saya tambah sikit bahan-bahanya.


Bahan-bahan:
1 kg hati lembu – dicuci dgn tepung gamdum @ cuka @ garam untuk hilangkan bau hanyir dan digaul bersama serbuk kunyit/kunyit hidup lagi sedap dan garam.
Goreng hati dengan minyak yang sedikit. Goreng hingga hampir masak.
2 biji bawang besar*
6 ulas bawang putih*
2 inci halia*
2 sudu besar ketumbar*
1 sudu besar jintan manis*
* diblend bersama/kisar
2 batang serai – diketuk @ dipotong serong
Daun kari ikut suka banyak mana nak letak
2 sudu besar penuh rempah kari daging @ rempah kerutup
Lada giling ikut citarasa masing2 nak letak banyak mana
2 sudu besar kerisik
Air secukupnya
Daun limau purut
Asam keping 3 keping @ air asam jawa
Garam, gula secukup rasa
Minyak untuk menumis

Cara-cara:

1.Panaskan kuali, masukkan daun kari dan goreng hingga naik bau dan masukkan bahan kisar, tumis sehingga wangi dan garing.
2.Masukkan serai, rempah kari dan cili giling kacau sehingga garing atau nampak berminyak. Boleh tambah air jika anda rasa rempah kari belum benar2 masak, biarkan air agak kering. Masukkan daun limau purut dan asam keping.
3.Masukkan hati yg telah siap digoreng terlebih dahulu tadi dan kacau sebati , jika terlalu kering tambahkan air dan pastikan hati sebati dan digaul rata ,masukkan pula kerisik. Jika inginkan sedikit kuah jangan masak terlalu kering.Jika menggunakan asam jawa boleh masukkan air asam jawa mengantikan air biasa.
4.Akhir sekali masukkan gula, garam mengikut citarasa masing-masing.

Nota: Masak hati ini seakan2 masakan rendang hati. Boleh gantikan rempah kari dengan rempah rendang segera atau kerutup.

Selamat Mencuba.

Wednesday, February 9, 2011

Ayam Madu Mamak



Resipi Ayam Madu Mamak ini saya copy dan paste daripada blog katering dan restoren. Mintak halal ya. Apabila Ayam Madu Mamak ini siap dimasak rupanya agak gelap, saya menyangka rupanya merah macam kat kedai mamak yang saya selalu makan tu.Rasa Ayam Masak Madu ini ramai yang kata sedap sebab saya masak ayam ini semasa majlis perpisahan seorang kawan. Jadi ramailah tester resipi ini. Sesiapa yang ingin mencuba silakanlah.

Resipi copy n paste daripada Blog Perniagaan Katering dan Restoren. Maaf tak pandai nak buat link ke blog tersebut.

Bahan-Bahan:
1. 1 Ekor ayam 1.6kg – 1.8kg di potong 10.Bersihkan dan sedia untuk goreng.
2. 250 gm buah kurma (buang bijinya dan kisar dengan sedikit air).
3. 100gm buah kismis.
4. 50gm buah jagus.
5. 2 sudu besar gula pasir.
6. 1 sudu besar serbuk cili.
7. 1 susu besar Jintan putih.
8. 1 sudu besar Jintan manis.
9. 1/2 sudu kecil serbuk kayu manis. (Tumbukan kayu manis dan kisar kering).
10. Buah pelaga 5-7 biji, Cengkih 5, Bunga lawang 5.
11. Daun pandan satu helai (potong dalam 2-3 inchi)
12. Kisaran halia (2in.) + Bawang besar 2 biji + bawang putih 5-7 ulas)
13. Bawang goreng dan daun pudina untuk taburkan diatas hidangan.
14. Hirisan bawang besar i biji (besar).
15. Minyak masak dan garam untuk secukup rasa.
1. Bersihkan ketulan ayam, masukan kunyit dan garam(sedikit) dan goreng.Gorengan tidak perlu garing atau terlalu lama cukup kadar masak 3/4 sahaja.Asingkan..
2. Panaskan kuali dam masukkan minyak tiga sudu besar. Gorengkan biji jagis dan kismis dalam api yang sederhana. jangan hanguskan gorengan ini. Asingkan gorengan ini.
3. Tambahkan satu sudu besar minyak dan masukkan buah pelaga, cengkih dan bunga lawang. Apabila kelurkanbau yang harum masukkan hirisan bawang dn daun pandan. Apabila hirisan bawang mengeluarkan bau yang harum masukkan bahan kisaran Bawang+Halia + bawang putih.
4. Apabila gorengan nimengeluarkan haruaman masukan serbuk cili, serbuk jintan putih dan manis, serbuk kayu manis. Kacau rata campuran ini apabila campuran ini keluarkan sekali lagi bau yang harum masukan kisaran buah kurma dan gula pasir.Biarkan campuran ini masak seketika dan perlu tentukan likatan yang diperlukan.Sekiranya terlalu likat bolehlah campurkan sedikit air. Kuah ini perlu mendidih sekiranya air dimasukan.Masukan garam yang sederhana.
5. Masukkan ayam yang telah sedia digoreng kacau serata supaya kuah berempah ini dapat serap kedalam isi ayam. Kecilkan api dapur dan masukan Buah ganjus dan kismis yang telah goreng.Kacau serata.
6. Keluarkan dari kuali dan hidangkan.Curahkan sedikit madu keatas hidangan ayam.Taburkan bawang goreng (tersedia) dan daun pudina di atas hidangan tersebut (boleh juga di hiaskan dgn cili merah)

Spaghetti Goreng



Inilah antara menu bekalan anak2 saya ke sekolah. Kebetulan spaghetti goreng ini digemari juga oleh kawan-kawan disekolah mereka. Jadi keraplah saya membuat spaghetti goreng ini .

Bahan-nahan:

1 bungkus spaghetti 500gm. (apa2 jenama) Rebus sehingga lembut dan toskan.
300 gm daging. Rebus sehingga lembut dan agak kering airnya (potong nipis2)
1 biji bawang besar - hiris nipis
4 ulas bawang putih - hiris nipis/ketuk
1 sudu besar cili giling atau ikut citarasa masing2
1 mangkuk taugeh ( biasa saya isi satu pek yg 200 gm) nak isi sayur2 lain pun boleh seperti kubis bulat, bunga kubis, brokoli, bayam hijau atau sayur2 sejuk beku dll.Kat sini sawi tak ada.
2 batang daun bawang - potong ikut suka masing2( biasa saya isi lebih)
Minyak untuk menumis
Kicap pekat , garam , gula sos tiram dan sos cili jika suka.

Cara:

1. Panaskan minyak , tumis bawang besar, bawang putih dan lada sehingga bawang layu dan naik bau.
2.Masukkan daging rebus yang telah dihiris, kacau rata. Masukkan kicap, sos tiram, sos cili kacau rata. Masukkan air rebusan daging jika ingin spaghetti yang agak basah.
3. Masukkan spaghetti gaul rata, masukkan sayur/taugeh, daun bawang kacau rata. Tambah kicap, sos, garam gula mengikut citarasa masing2.
4. Apabila spaghetti sudah rata dengan semua bahan2 bolehlah diangkat, hidangkan panas2. Boleh tambah telur goreng mata kerbau jika suka.

Selamat Mencuba.

Kek Kurma



Resipi asal daripada My Resipi cuma ada sedikit penambahan bahan2.

Bahan-bahan:


4 biji telur
200 gm butter atau margerin
1 cawan gula
2 cawan kurma (dibuang biji)
3/4 cawan susu segar suam
Kurma direndam didalam susu segar suam sehingga lembut dan di kisar atau dilecek sehingga halus.
2 cawan tepung gandum serbaguna (saya gunakan tepung gandum yang telah ada serbuk penaik)
1 sudu teh baking powder
1 sudu teh soda bikarbonat
1 sudu teh esen vanila

Cara-cara
1.Pukul gula dengan butter /marjerin hingga kembang.
2.Masukkan telur,pukul lagi hingga sebati.
3.Setelah itu, masukkan tepung,kurma yang telah dikisar/lecek ,baking powder,soda bikarbonat dan esen.
4.Gaul sebati dan tuang dlm acuan pembakar.
5.Bakar kek selama 30- 45 minit pada suhu 180 darjah atau sehingga masak.

Apabila masak Kek Kurma ini agak lembab. Bagi yang tidak suka manis kurangkan sukatan gula kerana manis kurma sudah memadai.

Selamt Mencuba.

Thursday, January 6, 2011

Sate Ayam II




Salam,

Demam sate melanda, dua kali mencuba tetapi masih tidak memuaskan. Sesiapa yang ada resipi sate dan kuah sate yang sedap, sudi2lah berkongsi dengan saya.

Pau II




Inilah hasil rupa gaya pau setelah mendapat tunjuk ajar sifu melalui FB. Terima kasih Kak Zu.Kulit dah nampak licin tetapi masih jauh daripada sempurna. Insyaalah saya akan cuba lagi.