Monday, July 10, 2017
Cerita Orang Dapur
Salam,
Dapur Kejora dah lama tidak ada gambar baru dan resipi baru. Sebenarnya hari-hari aku mengulang resipi yang sama. Maklum anak sudah tidak duduk bersama-sama jadi hendak memasak beria-ia pun siapa yang hendak makan. Kami berdua suka resipi lama sebab sama-sama orang lama. Kadang aku teringin juga hendak mencuba resipi baru tetapi memikirkan hasilnya tak kemana aku tangguhkan hasrat itu. InsyaAllah tiba hari yang sesuai akan aku sampaikan hajat hati sendiri.
Dulu semasa aku tengah rajin mengemaskini segala jenis resipi yang aku cuba, adalah yang hairan dan pelik, katanya dah berlambak resipi kat internet, kenapalah aku rajin sangat hendak berblog sakan. Oklah, ikhlas aku bagitau dia, aku berblog ini semata-mata untuk diri aku sendiri. Aku ini sebagai anak bongsu, masa remaja aku, dapur dan memasak adalah yang terakhir dalam jadual harian. Semuanya disediakan oleh emak dan kakak-kakak aku. Tugas aku hanya sebagai pembasuh pinggan selepas makan. Seingat aku setiap kali aku memegang pisau ada saja yang tak kena. Tapi aku cekap mengupas kelapa dan mengukur kelapa, dari mengunakan pengukur yang duduk bersimpuh itu sehinggalah kepada pengukur elektrik. Itu memang tugas aku.
Selepas berkahwin dan merantau barulah aku berjinak-jinak ke dapur sebab tiada yang aku boleh harapkan lagi. Satu lagi..tiada siapa yang memerhati aku memasak didapur, semuanya serba kena dimata aku. Aku potong sayur begitukah, beginikah, bawang potong bulatkah, hancurkah..semua aku yang menghakiminya.
Tanpa aku sedar aku kagum dengan kebolehan aku yang boleh buat apa yang tidak pernah aku buat sebelum ini. Bila blog menjadi viral suatu ketika dulu aku pun mengambil initiatif mengabadikan apa sahaja yang aku cuba didapur sebagai kenang--kenangan dan rujukan aku di masa hadapan. Apa yang aku simpan dialam siber ini resipi yang aku cuba dan puas hati dengan hasilnya. Toksah nak bandingkan dengan orang lain kerana aku hanya buat untuk diri aku. Jadi kalau ada sesiapa di luar sana yang terjumpa blog masakan aku ini, ambillah seadanya, jangan dikeji dan dicaci jika tidak suka.
Alhamdulillah, syukur kepadaNYA, sejak aku pertama kali menyimpan resipi di alam siber ini, aku tidak perlu memikirkan buku resipi, jika aku teringin membuat semula apa yang pernah aku cuba sebelum ini hanya Dapur Kejora yang aku rujuk meskipun ketika itu aku di hujung dunia. Sejak memulakan blog masakan siber ini telah empat negara aku pergi. Meski berlainan benua aku hanya perlukan internet untuk mendapatkan resipinya.
Bagi mereka yang terjumpa resipi di blog aku ini dan teringin hendak mencuba, silakanlah..semoga perkongsian ilmu di alam siber ini menjadi satu sedekah dan pengerat silaturrahim meskipun kita tidak pernah bersua muka. Sebarkanlah ilmu yang bermanafaat semoga kita sentiasa diredhai olehNYA walau dimana bumi yang kita pijak dan langit yang kita junjung. Moga apa yang kita masak dan apa yang kita makan serta kita hidangkan untuk anak-anak dan keluarga kita , menjadi darah daging yang berkat, menjadikan kita hamba yang lebih taat untuk beribadat kepada NYA. Insya Allah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment