Pembuka kata
Memasak bukanlah kegemaran saya tetapi keadaan yang memaksa . Sebagai anak bongsu saya mempunyai pelbagai alasan untuk tidak kedapur. Setelah berkahwin, tidak dapat tidak saya terpaksa memasak dan buku resepi menjadi teman setia saya didapur.
Di Malaysia, sebut saja apa yang diingini semua boleh didapati dengan senang. Pilih saja tempat yang berkenan dihati. Keadaan memaksa saya mengenali dapur dan masakan dengan lebih akrab .Sekarang baru saya sedar bahawa memasak ni tidaklah sesusah mana dengan sedikit kemahuan dan diadun dengan kepelbagaian idea boleh melahirkan masakan yang sedap dan berkhasiat.
Rutin memasak saya memang setiap hari. Pada sebelah pagi saya menyediakan sarapan untuk kami sekeluarga, disamping itu menyediakan bekalan makanan tengah hari untuk dua orang anak saya dan suami. Anak-anak saya terpaksa membawa bekalan dari rumah (home lunch) kerana makanan yang disediakan disekolah tidak halal. Sebelah petang menyediakan makan malam pula dan jika saya rajin tidak lupa kuih untuk minum petang.
Disamping rutin memasak harian, kami sekeluarga tidak lupa menyambut hari-hari istimewa seperti hari jadi, ulang tahun perkahwinan dan hari raya. Bagi meraikan hari-hari istimewa ini saya juga yang menyediakan segala juadah sama ada ringan ataupun berat. Bukan kami tidak mahu meraikan diluar tetapi kerana susahnya untuk mencari makanan yang halal dan sesuai dengan selera Melayu Malaysia.
Kami sering juga meraikan tetamu istimewa yang datang berkunjung kesini sama ada secara rasmi ataupun tidak dan kebiasaannya saya akan memasak dalam jumlah yang agak banyak. Secara tidak langsung keadaan ini sedikit sebanyak memahirkan saya dalam pengurusan dapur, masa dan jenis-jenis masakan.
Memandangkan pengalaman ini tidak dapat saya rasai jika saya di Malaysia, jadi saya abadikan koleksi masakan yang pernah saya cuba sebagai menghargai keupayaan diri saya sendiri disamping dapat berkongsi cerita dengan ahli-ahli keluarga kaum kerabat , sahabat handai yang jauh dimata dan rakan-rakan maya. Dunia menjadi kecil dengan adanya kemudahan internet dan perhubungan maya ini.
Sekadar berkongsi cerita, kenapa saya memilih nama Bintang Kejora. Bintang Kejora ini sangat istimewa dalam sejarah hidup saya. Nenek sebelah emak adalah orang yang paling berjasa dalam mendidik saya mengenali Al-Quran dan cerita-cerita lama. Beliau sangat suka membaca cerita-cerita penglibur lara dan Hikayat-hikayat Melayu lama. Banyak cerita yang dihafal dan diceritakan kembali kepada saya. Antara cerita dan watak-watak yang sering diceritakan ialah syair Siti Zubaidah, Iskandar Zulkarnain dan banyak lagi. Nenek saya juga membaca cerita-cerita sastera moden seperti Badai Semalam dan apa-apa saja yang berbentuk cerita. Setiap kertas yang dipegang akan dibelek dan dibaca. Jika menarik akan disimpan dan dibaca berulang kali. Secara sedar atau tidak saya mewarisi sifat suka kepada buku ini..
Apa yang paling saya ingat ialah dalam setiap cerita hikayat yang diceritakan kepada saya Bintang Kejora tidak lupa disebut. Bintang Kejora sering dikaitkan dengan kesempurnaan wanita dan sebagai penunjuk arah walaupun dimana ceruk dunia kita berada. Cahayanya menyinar diufuk timur dengan cahaya yang sangat terang dan memancar-mancar menjadi sumber kekuatan kepada sesiapa yang melihatnya. Cerita ini begitu melekat dihati dan tak mungkin akan hilang dari ingatan. Saya mendoakan kesejahteraan di dunia dan di akhirat buat nenek saya yang kini, tidak lagi mengenali diri ini kerana penyakit tua. Amin
Al-Fatihah. Nenek saya telah meninggalkan dunia yang fana ini hampir 10 tahun yang lalu. Moga rohnya ditempatkan ber sama-sama orang yang solehah. Aminn.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment