Friday, December 28, 2007

Kari Ayam, Daging Kicap dan Rendang Daging, Pulut Kuning

Rendang Daging

Rendang daging ni resepi daripada Teh Liza. Resepi ni ringkas dan rasa pun boleh tahan. Bagi saya apa yang penting bahan-bahan yang digunakan mudah didapati.

Bahan-bahan.
2 kilo daging ( dipotong ikut suka )

Dikisar kering :
2 sudu teh ketumbar
2 sudu teh jintan manis
2 sudu teh jintan putih

Dikisar basah/bersama sedikit air
1 inci lengkuas @ sebesar ibu jari
1 inci halia @ sebesar ibu jari
6 batang serai ( dihiris dan dikisar)
8 biji bawang putih
10 biji bawang besar ( saya tak guna bawang kecil sebab tak ada)

Kerisik ( saya buat daripada kelapa kering dalam tin ( 2 tin) saya goreng sehingga kuning dan kisar sehingga keluar minyak)
4 keping asam keping atau mengikut selera masing-masing
Garam, gula
1 tin santan 400ml @ 2 cawan
4 sudu kicap pekat ( saya guna kicap pekat ABC Indonesia)
8 helai daun limau purut (dihiris halus) bagi sesiapa yang tak suka bau limau purut tak letak pun ok @ letak 3 helai mencukupi
2 helai daun kunyit (dihiris halus)

Cara-cara:

1. Gaul daging dengan sebahagian bahan-bahan yang dikisar kering dan basah, perap selama 1/2 jam
2. Setelah itu kacau daging diatas api sederhana sehingga kering dan masukkan bahan yang setengah tadi bersama santan.
3. Masak sehingga daging lembut, jika daging masih keras tambah air mengikut kesesuaian.
4. Setelah daging lembut masukkan daun limau purut, daun kunyit,asam keping,gula, garam dan kicap.
5. Kacau hingga sebati, rasa masin dan manis mengikut selera masing-masing, jika kurang masam boleh tambah perahan air limau ( saya gunakan perahan limau yang segera)
6. Akhir sekali tambahkan kerisik. kacau sebati dan angkat. Sedia untuk dimakan.

Selamat mencuba.

** Saya tidak sertakan resepi kari ayam kerana ......hehehhehe tak pernah jadi bila buat kari..( maksudnya tak mencapai tahap ISO yang ditetapkan)

P/S Long, bila-bila nanti bolehlah ajar buat kari ok!

Daging Kicap

1 kilo daging

Dikisar bersama:
3 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
1 sudu kecil jintan manis
1 sudu kecil jintan putih
1 sudu kecil ketumbar
Halia sebesar ibu jari

Garam, gula,
2 sudu besar lada giling @ lada kering yang telah dikisar (ikut suka masing-masing, jika tidak suka pedas kurangkan lada)
3 sudu besar kicap pekat ( saya guna kicap ABC Indonesia seba tak ada kicap lain)
Asam limau (saya gunakan perahan asam limau segerayang dalam botol tu. (lime juice)
Minyak masak.

Cara-cara:

1. Potong daging mengikut kegemaran masing-masing.
2. Perap daging bersama bahan-bahan kisar dan kicap selama 1/2 jam.
3. Panaskan kuali dan masukkan daging yang telah diperap tadi, masak sehingga air daging agak kering .
4. Angkat daging tadi, panaskan minyak dalam kuali yang sama , tumiskan lada dan bila garing masukkan semula daging tadi.
5. Masak sehingga daging lembut, rasalah masin, manis dan masam mengikut selera masing-masing.
6. Jika suka masukkan bawang hiris dan lada hiris sebelum diangkat. (saya suka isi lada benggala)

Selamat mencuba.

P/S Long, kawan-kawan saya kata masak kicap ni rasa macam dendeng . Saya memang suka isi lada benggala tu..sebab rasanya lain sikit.

Pulut Kuning

Bahan-bahan:
4 cawan beras pulut
2 sudu kecil serbuk kunyit
1 tin santan 400ml. (jika ada santan asli lagi bagus)
1 sudu kecil garam

Rendam beras pulut dan serbuk kunyit semalaman @ sekurang-kurangnya 2 jam. ( saya rendam semalaman)

Cara-cara:
1. Panaskan pengukus.
2. Toskan pulut yang telah direndam tadi.
3. Kukus pulut tadi sehingga masak.
4. Angkat pulut yang telah masak tadi dan masukkan kedalam periuk @ bekas yang besar.
5. Campurkan pulut tadi dengan santan dan garam, kacau sehingga santan meresap kedalam pulut @ sebati.
6. Setelah itu kukus semula pulut tadi selama 15 minit.
7. Angkat dan tekan dalam mana-mana acuan kegemaran anda. (saya guna acuan kek span)
8. Hidangkan bersama-sama rendang @ kuah kari kegemaran anda.

Selamat mencuba.