Wednesday, July 12, 2017

Kuih Kosui @ Kuih Kaswi @ Kuih Gula Merah Mudah



Salam,

Kuih kaswi@kosui@ kuih gula merah adalah kuih kegemaran saya sejak kecil. Saya suka bau dan rasa kapur yang diadun bersama gula merah. Jika kena dengan gula merah yang baik kualitinya, kita boleh bau harum kuih kaswi ini.
Saya juga sudah mencuba beberapa resipi sejak bertahun-tahun dulu. Saya pernah makan kuih kaswi yang sangat sedap tetapi sayang resipinya tidak dikongsi sehingga resipi itu telah berkubur bersama-sama tuannya.
Resipi kaswi yang sedap biasanya lembut, agak liat dan harum baunya.

Resipi Kuih Kaswi yang saya buat pada bulan puasa yang lepas bukanlah yang tersedap saya pernah makan tetapi yang pasti bila buat gerenti jadi. Jadi, pada bulan Ramadan yang lepas saya membuat Kuih Kaswi menggunakan resipi ini sebanyak tiga kali.
Resipi ini daripada Chef Hanieliza yang popular di alam siber suatu masa dulu. Resipi ini saya ambil daripada bukunya yang dihadiahkan kepada saya oleh rakan sekerja sebelum saya berangkat ke Ankara. Inilah resipi pertama yang saya cuba daripada buku "Kompilasi Resipi Warisan" mengandungi 230 Resipi Turun Temurun oleh Chef Hanieliza. Terima kasih kawan Ida Ady dan Chef Hanieliza.

Bahan-bahan:

Bahan A

2 cawan tepung gandum
1/2 cawan tepung kanji @ tepung ubi
1/2 sudu teh kapur sirih. Saya isi satu suduh penuh sebab saya suka rasa kapur yang kuat.
1/2 biji kelapa parut @ seberapa banyak yang kita suka
sedikit garam
sedikit minyak untuk disapu pada loyang

Bahan B(Air Gula)

5 cawan air
1 cawan gula merah
1 cawan gula pasir
2 helai daun pandan @ ikut suka nak letak banyak mana(dikoyak dan disimpul)

Cara Membuatnya:
1. Panaskan air di dalam pengukus.
2. Ratakan sedikit minyak didalam loyang bersaiz 7 inci.(saya tak pasti loyang saya bersaiz berapa, jadi gunalah sebarang loyang yang kita ada)
3. Masakkan bahan B didalam periuk yang berasingan sehingga mendidih kemudian tapiskan.
4. Apabila sudah agak suam @ sejuk bancuh semua bahan A dengan Bahan B kecuali garam dan kelapa parut, kemudian tapiskan kedalam loyang yang telah pun dipanaskan didalam pengukus yang airnya telah mendidih.
5. Kukus selama 30 minit.
6. Apabila kuih telah sejuk potong ikut size kegemaran masing-masing. Seelok-eloknya gunakan pisau plastik untuk memotong supaya nampak cantik.
7. Kelapa yang telah digaulkan dengan garam, seeloknya kukus seketika supaya tidak cepat basi.
8. Lumurkan kuih dengan kelapa parut tadi.
9. Siap untuk dihidang.

nota: Sepanjang tiga kali membuat kuih kaswi ini saya terlupa untuk ambil gambar kuih yang telah digaul dengan kelapa.

Bagi saya resipi ini sangat mudah, gerenti jadi. Silalah cuba.




Kuih Lompat Tikam Mudah



Salam,

Kuih lompat tikam ini saya ambil resipi daripada blog Pn Yatie Memories.
Resipi di bawah saya copy and paste daripada blog Sinar Kehidupan Yati Memories. Maaf sangat-sangat sebab tidak pandai untuk letak link. Minta halal atas perkongsian siber ini ya Pn Yatie.
Ulasan saya apabila mencuba resipi ini ialah ianya mudah dan menjimatkan masa. Tidak perlu untuk berdiri dan mengacau lama-lama. Yang paling penting ahli keluarga suka, lebih-lebih lagi dimakan waktu berbuka puasa selepas berpuasa dengan waktu yang panjang.  Terima kasih sekali lagi Pn Yatie,  lain kali nak cuba resipi yang lain pula daripada blog Pn Yatie.

Bahan-bahan:

Bahan Lapisan Hijau
  • 1 cawan tepung beras
  • 1 s/b tepung jagung
  • 3 cawan santan cair
  • 1/2 cawan jus pandan + pewarna hijau
  • 1 s/k air kapur
  • secubit garam
Cara-Cara
  1. Panaskan kukusan dan sapu minyak pada loyang(saya guna mangkuk kaca sebab pengukus guna periuk nasi yang kecil).
  2. Gaulkan semua bahan dan tapiskan.
  3. Masakkan adunan diatas api sebentar dan masukkan dalam loyang dan kukus selama 15 minit.
  4. Bila dah masak cakarkan sikit permukaan kuih supaya memudahkan bahagian lapisan santan melekat.
Bahan Lapisan Putih
  • 1 1/2 cawan tepung beras
  • 1 s/b tepung jagung
  • 4 cawan santan sederhana pekat
  • 1 s/k garam
Cara
  1. Campurkan semua bahan dan tapiskan.
  2. Masakkan bahan kuih ini sekejap diatas api.
  3. Tuangkan adunan diatas lapisan hijau.
  4. Kukuskan selama 15 minit dan sejukkan
  5. Bila dah sejuk potong kuih dan hidangkan dengan air gula merah.
Air Gula Merah
Bahan
  1. 1 cawan gula merah( saya guna brown sugar)
  2. 1 cawan gula biasa
  3. 2 cawan air
  4. 1 helai daun pandan [ koyakkan]
Cara
  1. Masakkan semua bahan sehingga mendidih.
  2. Tapiskan dan hidangkan bersama kuih lompat tikam.

Monday, July 10, 2017

Cerita Orang Dapur


Salam,

Dapur Kejora  dah lama tidak ada gambar baru dan resipi baru. Sebenarnya hari-hari aku mengulang resipi yang sama. Maklum anak sudah tidak duduk bersama-sama jadi hendak memasak beria-ia pun siapa yang hendak makan. Kami berdua suka resipi lama sebab sama-sama orang lama. Kadang aku teringin juga hendak mencuba resipi baru tetapi memikirkan hasilnya tak kemana aku tangguhkan hasrat itu. InsyaAllah tiba hari yang sesuai akan aku sampaikan hajat hati sendiri.

Dulu semasa aku tengah rajin mengemaskini segala jenis resipi yang aku cuba, adalah yang hairan dan pelik, katanya dah berlambak resipi kat internet, kenapalah aku rajin sangat hendak berblog sakan. Oklah, ikhlas aku bagitau dia, aku berblog ini semata-mata untuk diri aku sendiri. Aku ini sebagai anak bongsu, masa remaja aku, dapur dan memasak adalah yang terakhir dalam jadual harian. Semuanya disediakan oleh emak dan kakak-kakak aku. Tugas aku hanya sebagai pembasuh pinggan selepas makan. Seingat aku setiap kali aku memegang pisau ada saja yang tak kena. Tapi aku cekap mengupas kelapa dan mengukur kelapa, dari mengunakan pengukur yang duduk bersimpuh itu sehinggalah kepada pengukur elektrik. Itu memang tugas aku.

Selepas berkahwin dan merantau barulah aku berjinak-jinak ke dapur sebab tiada yang aku boleh harapkan lagi. Satu lagi..tiada siapa yang memerhati aku memasak didapur, semuanya serba kena dimata aku. Aku potong sayur begitukah, beginikah, bawang potong bulatkah, hancurkah..semua aku yang menghakiminya.

Tanpa aku sedar aku kagum dengan kebolehan aku yang boleh buat apa yang tidak pernah aku buat sebelum ini. Bila blog menjadi viral suatu ketika dulu aku pun mengambil initiatif mengabadikan apa sahaja yang aku cuba didapur sebagai kenang--kenangan dan rujukan aku di masa hadapan. Apa yang aku simpan dialam siber ini  resipi yang aku cuba  dan puas hati dengan hasilnya. Toksah nak bandingkan dengan orang lain kerana aku hanya buat untuk diri aku. Jadi kalau ada sesiapa di luar sana yang terjumpa blog masakan aku ini, ambillah seadanya, jangan dikeji dan dicaci jika tidak suka.

Alhamdulillah, syukur kepadaNYA, sejak aku pertama kali menyimpan resipi di alam siber ini, aku tidak perlu memikirkan buku resipi, jika aku teringin membuat semula apa yang pernah aku cuba sebelum ini hanya Dapur Kejora yang aku rujuk meskipun ketika itu aku di hujung dunia. Sejak memulakan blog masakan siber ini telah empat negara aku pergi. Meski berlainan benua aku hanya perlukan internet untuk mendapatkan resipinya.

Bagi mereka yang terjumpa resipi di blog aku ini dan teringin hendak mencuba, silakanlah..semoga perkongsian ilmu di alam siber ini menjadi satu sedekah dan pengerat silaturrahim meskipun kita tidak pernah bersua muka. Sebarkanlah ilmu yang bermanafaat semoga kita sentiasa diredhai olehNYA walau dimana bumi yang kita pijak dan langit yang kita junjung. Moga apa yang kita masak dan apa yang kita makan serta kita hidangkan untuk anak-anak dan keluarga kita , menjadi darah daging yang berkat, menjadikan kita hamba yang lebih taat untuk beribadat kepada NYA. Insya Allah.

Saturday, June 3, 2017

Cucur Pesembur


Salam,
Hari kelapan berpuasa saya mencuba resipi pesembur dari blog Mamak Haji
Disini resipi saya copy and paste bulat-bulat dari blog Mamak Haji. Minta halal ya Mamak Haji Roslan.
Resipi Cucur Mamak Haji Roslan. Maaf  Mamak Haji saya tidak pandai untuk letak link blog Mamak haji.

RESEPI CUCUR UDANG UNTUK PASSEMBUR ATAU ROJAK MAMAK:
BAHAN-BAHAN:
·         1 cawan tepung gandum (biasanya 1 cawan = 100gm).
·         1 cawan tepung beras.
·         3 sudu besar (tbsp) tepung jagung.
·         3 sudu besar (tbsp) kelapa parut/ gunakan yang kering. Tak perlu beli, goreng kering di atas kuali dengan api sederhana. kalau malas tak payah bubuh pun.
·         1 sudu kecil (tsp) Yis segera/ Mauripan 11gm setengah paket.
·         1/2 sudu kecil baking powder.
·         1 sudu kecil gula pasir dilarutkan dengan 2 cawan air suam (jangan panas!). Larutkan yis. Biarkan 10 minit sebelum dicurahkan kedalam tepung.
·         3/4 sudu kecil (tsp) garam.

·         Nota: Mamak haji tak tambah kisaran udang, taugeh, kucai, bawang atau cili hijau. kita cuba tepungnya dulu sebelum kita jadikan ia digunakan untuk “resepi passembur”. Anda boleh ikut resepi cucur udang mamak penang dalam posting lama.  Caranya sama untuk cucur ini kita tambah tepung beras untuk mengeraskan dan tepung jagung untuk tidak menjadikan hasil gorengan yang terlalu keras tetapi jadikan ranggup.  kalau tidak masukkan tepung jagung ia akan jadi seperti kueh tempeyek.

CARA MEMBUATNYA:

1. Adunkan tepung beras, gandum, jagung, baking powder dab garam serata.  Masukkan larutan gula bersama yis dalam adunan tepung.  Bancuh tepung serata. Kalau nak  berbentuk bulat cucur, cairkan sedikit tapi kalau inginkan cucur berbentukk selinder (bulat memanjang) pekatkan sedikit ditambah tepung gandum. Jenis selinder ini kita perlu gunakan sudip untuk memindahkan kedalam kuali untuk gorengan.
2. Tutup bekas adunan. Biarkan (peraman) selama sekurang-kurangnya satu jam. Lama sangat pun tak boleh kerana tepung akan menjadi masam. Bagi mamak haji 1-2 jam sudah memadai.
3. Adunan biasa akan naik dua kali dari asal. Gaulkan kembali. Masukan nyioq parut (susah nya nak sebut kelapa). Gaulkan kembali adunan. Sambil itu boleh panaskan kuali dengan minyak masak “CAP FELDA FVGH” sebelum naik harga minyak masak naik!.
4. Ini nak goreng ini, uji dan pastikan minyak betul-betul panas dengan masukan satu atau dua titik tepung adunan tadi kedalam minyak untuk menetukan kepanasan. Minyak kalau tak panas, minyak masak diserap ke dalam cucur anda. Ini akan jadikan bukannya cucur udang tapi cucur minyak. Terlalu panas akan menghanguskan cucur. pandai-pandai kawal suhu panas. kalau nak sejukan minyak panas masukan sedikit minyak baru ke dalam kuali. Kepanasan Minyak gorengn jangan sampai ia berasap (terbakar), ia buruk untuk kesihatan yang membentuk asid. Inilah sebab kadang-kala bila makan gorengan tekak kita gatal dan batuk-batuk. Minyak yang telah berasap tidak boleh digunakan. Mana nak buang?. Kenapa majlis tak mahu sediakan tempat kumpul minyak?. Kononnya dasar “hijau”. Hijau itu warna rasmi Petronas bukan Parti Pas.
5. Cara goreng gunakan sudip, panaskan sudip kedalam minyak panas selama 1-2 minit. Ambil adunan tepung dengan sudu (2 sudu) dan tolak dengan sudu yang lain, masukkan dalam minyak panas. Tepung kadang-kala melekat di sudip, untuk elakan biarkan dia masak sedikit kemudian baru tolak masuk. Kalau punyai sudip yang tak melekat (non-stick ceramic) amat sesuai. Buat perlahan-lahan untuk memahirkan.

6. Cara tuang tepung di tepi kuali menggunakan senduk dan tuang ditepi kuali. Yang melekat itu boleh ditolak dengan sudip. Untuk ini tepung perlu cair sedikit kerana ia akan meleleh perlahan masuk ke dalam kuali.  Tepung yang masih terlekat atas paras minyak di kuali boleh ditolak masuk dengan sudip bila tepung mulai masak.

Thursday, June 1, 2017

Daging Dendeng Mudah Ummi Zahidi

Bahan-bahan:

1 kilo daging fresh
(Daging dipotong besar2 dulu, rebus dan toskan. Kemudian potong kecil dan nipis. Tumbuk2 daging. Setelah siap menggoreng bawang, gunakan minyak bawang untuk menggoreng daging yang telah ditumbuk)

20 - 25 tangkai cili kering ] kisar
20 biji bawang merah ] bersama
1 cawan hirisan gula melaka
1/4 cawan air asam jawa pekat
3 sudu besar kicap pekat manis
garam secukup rasa
1/2 cawan minyak masak
1 kilo bawang merah - buat bawang goreng

Cara Membuat:-

Panaskan minyak dalam kuali. Tumiskan cili dan bawang kisar. Masak hingga betul-betul pecah minyak. Masukkan gula melaka, kicap, air asam jawa dan garam. Seimbangkan rasa. Masak hingga kering sikit dan naik minyak lagi, baru masukkan daging tadi. Kacau rata. Tutup api dan masukkan bawang goreng dan kacau rata. Sedap dimakan dengan lemang/pulut/nasi/roti.

Monday, February 13, 2017

Bulan dua 2017

Salam,
Telah berada di bulan dua 2017.

Sunday, October 16, 2016

Keinginan vs kemalasan

Salam,

 Ada yang tidak kena dengan blog masak2 saya ni..keinginan untuk mengemas kini sentiasa ada tetapi perasaan malas itu terlalu tebal ditambah dengan halangan teknikal yang memeningkan kepala. ARGHHH...