Sunday, February 10, 2008

Karipap dan Kuih Bakar

Karipap ni antara kuih melayu pertama yang saya belajar, sebab ianya senang dan pasti jadi.
Intinya saya ikut selera sendiri tak merujuk mana-mana resepi sebab lain orang lain seleranya. Kulit karipap ni saya belajar daripada Kak Zu dan memang kena dengan selera saya. Bagi yang suka karipap selamat mencuba.

Karipap

Inti karipap
Bahan-bahan:

4 biji kentang (saiz besar @ apa-apa saizlah dipotong dadu)
100gm daging cincang( boleh gantikan dengan ayam @ udang kering @ udang basah, ikut selera masing-masing)
4 biji bawang besar (dipotong dadu)
2 ulas bawang putih (dicincang)
3 sudu besar rempah kari( apa-apa jenis, saya biasa guna kari daging )
Daun kari (jika ada)
3 sudu besar minyak ( saya gunakan minyak zaitun)
1 sudu lada kering ( jika nak pedas)
Sedikit air
Garam, gula sesedap rasa.

Cara-cara:
1. Panaskan minyak, tumiskan bawang besar, bawang putih , daun kari dan lada sehingga naik bau dan garing.
2. Masukkan rempah kari yang telah dibancuh dengan sedikit air dan kacau sehingga naik bau.
3. Masukkan daging @ ayam@ udang, kentang dan digaul rata.
4. Setelah rata masukkan air, apabila kentang telah lembut masukkan gula dan garam mengikut citarasa masing, masak sehingga air kering.
5. Angkat dan sejukkan.

* Inti ni boleh disimpan didalam peti ais sehingga dua minggu dalam bekas kedap udara.

Kulit karipap

Bahan-bahan:

4 cawan tepung
4 sudu besar butter @ marjerin
sedikit garam
air panas

Cara-cara:

1. Cairkan butter dalam air panas
2. Buat lubang ditengah-tengah tepung, masukkan garam dan butter yang telah cair tadi, uli sehingga menjadi adunan yang lembut.
3. Bulat-bulatkan dan bolehlah diisi inti, kelim dibahagian tepi dan goreng.

* sukatan air mengikut kualiti tepung. Isi air sedikit-sedikit sehingga dapat doh yang dikehendaki. Saya suka adunan yang lembut supaya senang untuk mengelim.

Selamat mencuba.

Resepi Kuih Bakar ni diambil daripada Pn Fauzah Bahaudin, beliau bukan sahaja memberi resepi tetapi acuannya sekali. Terima kasih puan, acuan ni dah banyak berjasa jadi, saya kongsi bersama resepi kuih bakar ni untuk melebarkan rantaian ilmu di alam siber ni.

Kuih Bakar Pn Fauzah

Bahan-bahan:

1 cawan tepung serbaguna
1 cawan gula ( ikut suka masing-masing nak tambah @ nak kurangkan)
1 cawan telur ( biasanya telur besar 3 biji telur kecil 4 biji)
6 helai pandan( kisar dan tapis)
31/2 cawan santan ( saya gunakan santan tin)
Bijan
Pewarna hijau (jika suka)

* daun pandan tu saya kisar dengan 1 cawan air dan saya kurangkan santan kepada 21/2 cawan. apapun ikut suka cara masing-masing. Saya tambah 2 sudu besar tepung gandum sebab saya suka kuih yang agak keras .

Cara-cara:

1. Panaskan acuan kuih bakar atas api perlahan, letak sedikit butter. Waktu yang sama panaskan oven 180 darjah c.
2. Kisar semua bahan diatas didalam pengisar sehingga sebati. Jika tidak menggunakan pengisar pastikan digaul sebati dan tapis.
3. Tuangkan adunan kedalam acuan kuih bakar dan tabur bijan
4. Pindahkan kedalam oven, bakar selam 40 minit @ sehingga masak.

* jika tiada acuan kuih bakar , gunakan loyang pun ok. Saya dah cuba gunakan loyang dan hasilnya sama, cuma tak ada bentuk.

Selamat mencuba.

No comments: