Thursday, February 28, 2008

Kek Marble



Muffin Pisang

adunan muffin
..yang dah masak, ok lah kan..

Resepi Muffin boleh rujuk entri sebelum ini. Kli ni saja nak tunjuk gambar kerana percubaan kali kedua agak cantik dan sedap rasanya.

Sunday, February 10, 2008

Karipap dan Kuih Bakar

Karipap ni antara kuih melayu pertama yang saya belajar, sebab ianya senang dan pasti jadi.
Intinya saya ikut selera sendiri tak merujuk mana-mana resepi sebab lain orang lain seleranya. Kulit karipap ni saya belajar daripada Kak Zu dan memang kena dengan selera saya. Bagi yang suka karipap selamat mencuba.

Karipap

Inti karipap
Bahan-bahan:

4 biji kentang (saiz besar @ apa-apa saizlah dipotong dadu)
100gm daging cincang( boleh gantikan dengan ayam @ udang kering @ udang basah, ikut selera masing-masing)
4 biji bawang besar (dipotong dadu)
2 ulas bawang putih (dicincang)
3 sudu besar rempah kari( apa-apa jenis, saya biasa guna kari daging )
Daun kari (jika ada)
3 sudu besar minyak ( saya gunakan minyak zaitun)
1 sudu lada kering ( jika nak pedas)
Sedikit air
Garam, gula sesedap rasa.

Cara-cara:
1. Panaskan minyak, tumiskan bawang besar, bawang putih , daun kari dan lada sehingga naik bau dan garing.
2. Masukkan rempah kari yang telah dibancuh dengan sedikit air dan kacau sehingga naik bau.
3. Masukkan daging @ ayam@ udang, kentang dan digaul rata.
4. Setelah rata masukkan air, apabila kentang telah lembut masukkan gula dan garam mengikut citarasa masing, masak sehingga air kering.
5. Angkat dan sejukkan.

* Inti ni boleh disimpan didalam peti ais sehingga dua minggu dalam bekas kedap udara.

Kulit karipap

Bahan-bahan:

4 cawan tepung
4 sudu besar butter @ marjerin
sedikit garam
air panas

Cara-cara:

1. Cairkan butter dalam air panas
2. Buat lubang ditengah-tengah tepung, masukkan garam dan butter yang telah cair tadi, uli sehingga menjadi adunan yang lembut.
3. Bulat-bulatkan dan bolehlah diisi inti, kelim dibahagian tepi dan goreng.

* sukatan air mengikut kualiti tepung. Isi air sedikit-sedikit sehingga dapat doh yang dikehendaki. Saya suka adunan yang lembut supaya senang untuk mengelim.

Selamat mencuba.

Resepi Kuih Bakar ni diambil daripada Pn Fauzah Bahaudin, beliau bukan sahaja memberi resepi tetapi acuannya sekali. Terima kasih puan, acuan ni dah banyak berjasa jadi, saya kongsi bersama resepi kuih bakar ni untuk melebarkan rantaian ilmu di alam siber ni.

Kuih Bakar Pn Fauzah

Bahan-bahan:

1 cawan tepung serbaguna
1 cawan gula ( ikut suka masing-masing nak tambah @ nak kurangkan)
1 cawan telur ( biasanya telur besar 3 biji telur kecil 4 biji)
6 helai pandan( kisar dan tapis)
31/2 cawan santan ( saya gunakan santan tin)
Bijan
Pewarna hijau (jika suka)

* daun pandan tu saya kisar dengan 1 cawan air dan saya kurangkan santan kepada 21/2 cawan. apapun ikut suka cara masing-masing. Saya tambah 2 sudu besar tepung gandum sebab saya suka kuih yang agak keras .

Cara-cara:

1. Panaskan acuan kuih bakar atas api perlahan, letak sedikit butter. Waktu yang sama panaskan oven 180 darjah c.
2. Kisar semua bahan diatas didalam pengisar sehingga sebati. Jika tidak menggunakan pengisar pastikan digaul sebati dan tapis.
3. Tuangkan adunan kedalam acuan kuih bakar dan tabur bijan
4. Pindahkan kedalam oven, bakar selam 40 minit @ sehingga masak.

* jika tiada acuan kuih bakar , gunakan loyang pun ok. Saya dah cuba gunakan loyang dan hasilnya sama, cuma tak ada bentuk.

Selamat mencuba.

Apam Beras Long Kama

Resepi daripada Kak Long.


Bahan-bahan:
1 cawan tapai nasi
2 cawan gula
1 kampit tepung beras
4 cawan air
Eno
Pewarna jika suka

Cara-cara:

Masukkan semua bahan dalam pengisar.
Kisar sehingga sebati.
Masukkan eno jika mahukan apam merekah. (saya tak suka letak eno)
Warnakan mengikut warna kesukaan anda. (psssssssssst jangan le warna biru pulak!)

Saturday, February 9, 2008

Pizza


Pizza ni buat kali kedua, resepi sama seperti sebelum ni.. Adam pun dah janji dia nak cuba buat sendiri pizza ni.

Talam Ubi Kayu


Talam Ubi Kayu

Bahan-bahan:

Lapisan bawah:
1. 400 gm ubi kayu yang telah diparut dan diperah air sagunya.
2. 1 cawan gula
3. 2 sudu makan tepung ubi kayu
4. 2 sudu makan tepung beras
5. 1 1/2 cawan santan
6. Perisa pandan @ air daun pandan yang dikisar dengan 1/2 cawan air tadi( pewarna hijau)

Lapisan atas:

1. 2 cawan santan
2. 5 sudu makan tepung beras
3. 2 sudu tepung jagung
4. Secubit garam

Cara-cara:

1. Campur semua bahan-bahan lapisan bawah, tapis dan masukkan kedalam loyang pengukus.
2. Kukus selama 30 minit. (Pastikan air kukusan telah mendidih )
3. Campurkan semua bahan-bahan lapisan bawah dan masakkan diatas api perlahan sehingga pekat. Pastikan dikacau selalu supaya tidak berketul-ketul.(sama seperti membuat puding kastad)
4. Lapisan bawah yang telah masak tadi dicucuk dengan garfu dan tuangkan lapisan atas tadi.
5. Kukus semula selama 20 minit atau sehingga masak.
6. Sejukkan dan bolehlah dipotong mengikut cara masing-masing.

Selamat Mencuba.

P/S Long , tak sangka senang je, buat talam ubi ni!

Kuih Gelang @ Kuih Keria


Friday, February 1, 2008

Laksa Perantau


Bahan-bahan untuk kuah:

2 tin sardin besar ( saya guna yang biasa bukan dalam sos tomato)
3 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
4 biji cili api dan 1 biji lada besar
Belacan ( ikut suka nak letak banyak mana)
Asam keping ( ikut suka berapa keping, saya letak 6 keping)
Bunga kantan 3 kuntum (saya gunakan bunga kantan yang telah disejuk beku, kerana tiada dijual disini)
Daun kesum 4 pelepah. ( juga yang telah disejuk beku)
Air ( ikut suka ), garam, gula


Cara:
Potong bawang merah, bawang putih dan cili/lada, kisar sehingga hancur , masukkan pula sardin dan kisar .Jika menggunakan pengisar kecil, kisar secara berasingan setiap satu.
Masukkan kedalam periuk , apabila mendidih masukkan asam keping, bunga kantan , daun kesum dan masak sehingga pekat. Masukkan garam dan gula mengikut citarasa masing-masing.

Bahan salad:

Salad bulat ( hiris halus)
Mentimun ( hiris memanjang)
Bawang ( hiris halus)
Cili api ( lada kecik, hiris halus)

Cara hidang:
Masukkan laksa kedalam mangkuk, tabur bahan salad dan tuangkan kuah. Bolehlah menjamu selera.

Nota: bagi pencinta seni makan, resepi ni memang tidak sesuai kerana ianya terlalu ringkas , tetapi bagi yang mengidam, diperantauan dan bahan-bahan pula terhad bolehlah mencuba.

Dendeng Daging


Resepi ini diambil daripada Kak Ros, kakak ipar kawan yang datang bercuti kesini. Mula-mula rasa daging dendeng ni, terus teringat dendeng yang makan kat rumah Long itu hari..masa raya..ingat tak? Resepinya tersangatlah ringkas, jadi saya cuba buat dan bagi kawan-kawan rasa. Semua kata oklah tapi daging agak keras .Rupa-rupanya daging dendeng ni perlu diketuk atau ditumbuk..hahhaha..nantilah buat kali kedua saya ketuk betul2!!
Bahan-bahan:
1 kg daging ( kalau boleh daging lembut @ batang pinang)
1 kg @ 1/2 kg cili hidup ( saya tak guna sebanyak tu sebab takut pedas, saya guna 5 biji cili api, 1 biji cili besar)
15 biji bawang putih
7 biji bawang besar
4 keping asam keping
minyak untuk menggoreng
Cara-cara:
1. Perap daging bersama garam dan gula selama sepuluh minit ( katanya ni petua melembutkan daging, saya perap lebih sepuluh minit, saya guna 1 sudu teh garam halus dan 1 sudu besar gula dan 2 sudu besar madu)
2. panaskan minyak dan goreng daging dengan api perlahan. Minyak ni jangan banyak sangat, agak2 sendirilah. Tutup kuali dan dikacau sekali sekala sehingga daging kering.
3. Kisar cili dengan air sedikit.
4. tumbuk bawang putih dabn bawang besar kasar-kasar. ( saya gunakan chopper aje, hasilnya macam bawang ditumbuk kasar2 jugak)
5. Panaskan 2 senduk minyak mazola ( saya guna minyak lain) dan ambil minyak daging tadi untuk menumis cili.
6. masukkan bawang dan tumis sehingga garing.
7. Setelah garing masukkan asam keping, garam, gula mengikut citarasa masing-masing.
8. Setelah sebati masukkan daging kedalam tumisan cili tadi. ( ingat ! daging kena ketuk dulu)
9. Masak sehingga kering.
Selamat mencuba.
P/s Long, saya saje2 tambah bawang goreng sebelum daging tu betul-kering sebab saya pernah makan dendeng yang sangat sedap, rahsianya ialah letak bawang goreng banyak tetapi bawang tu digoreng sendiri bukan yang segera. Nanti lain kali saya cuba buat guna bawang yang digoreng sendiri.


Pizza Mudah



Adam dah berminggu-minggu sebut nak makan pizza, kat sini pizza makanan laut dan sayur-sayuran memang ada tetapi cara penyediaannya alahaiiii....bercampur-campur...penyepit, sudu, garfu yang sama diguna untuk mengambil salami, sosej , udang, salad yang terang-terang kita tak boleh makan. Nak ambil hukum darurat tak sampai hati..maklum depan mata..jadi cubalah buat sendiri..jadi jugak dan paling penting Adam suka. Resepi ni dicilok daripada internet kat web mana dah lupa. Dalam banyak2 resepi nilah yang paling mudah. Terjemahan ikut sedap sendiri aje..

Bahan-bahan:

500 gm tepung serbaguna
4 sudu besar minyak zaitun (olive oil)
1 sudu teh garam
200ml air suam
2 sudu teh yis kering ( saya guna sebungkus yis mauripan 11gm)
1/2 sudu teh gula

Cara-cara kulit pizza:

1. Masukkan tepung kedalam bekas yang sesuai.
2. Dalam bekas lain, campurkan yis kering, gula dan sedikit air suam, kacau dan biarkan selama 10 minit atau sehingga naik tiga kali ganda.
3. Tepung tadi, campurkan dengan minyak zaitun dan garam.
4. Masukkan yis yang telah kembang kedalam tepung dan tambah 200ml air suam.
5. Campurkan bahan-bahan tadi dan uli hingga menjadi adunan yang lembut.
6. Tutup bekas dengar tuala dapur/kain yang bersih dan biarkan selama satu jam.
Semetara menunggu satu jam bolehlah buat sos pizza dan sediakan bahan-bahan atas pizza.

Bahan -bahan untuk sos pizza yang diletak atas kulit pizza:

1. 1 biji bawang( saya buat lebih)
2. 4 biji bawang putih ( saya letak lebih)
3. 3 sudu besar minyak zaitun ( saya tak sukat, agak2 aje)
4. 1 tin 400gm tomato dadu
5. 1 sudu teh oregano ( saya tak letak sebab tak ada kat rumah)
6. Daun basil ( daun selasih kot! saya tak isi sebab tak ada kat rumah tak sempat nak beli lain kali boleh cuba isi daun2 ni)
7. Lada kalau suka, garam sesedap rasa

Cara-cara sos pizza:
1. Potong dadu bawang merah, bawang putih.
2. Tumis dengan minyak zaitun, masukkan tomato dan daun-daun.
3. Masak sehingga pekat atau kalau rajin boleh kisar. pastikan tidak terlalu berair.
4. Sejukkan

Bahan atas pizza.

Saya tak ikut sangat dalam resepi, saya ikut apa yang ada kat rumah masa tu. Saya letak:

1. Sosej ayam
2. Lada benggala (kuning dan merah)
3. Cendawan butang yang segar ( bukan dalam tin)
4. Udang
5. Keju Mozarella yang dah disagat. Lain-lain jenama pun boleh @ ikutlah selera masing-masing.

Apabila semua bahan dah sedia bolehlah membuat pizza.

Cara-cara penyediaan pizza:

1. Panaskan oven 180 darjah
2. Ambil 1/3 adunan pizza dan ratakan dalan pembakar pizza( saya gunakan loyang yang nipis sebab tak ada loyang pizza.
3. Ratakan, dan biarkan selama 15 minit. Cucukkan dengan garfu dan bakar sekejab ( saya bakar 15 minit)
4. Angkat kulit pizza, ratakan sos pizza dan letakkan bahan-bahan atas pizza , akhir sekali tutup dengan keju Mozarella sagat tadi.
5. Naikkan suhu oven kepada 200 darjah celcius.

Selamat mencuba.

p/s Saya gunakan loyang yang berukuran 30cm, dapat dua biji pizza. Bahan tabur atas ikut suka masing-masing. Kulit pizza ni boleh disejuk bekukan. Heheeehhe..saya tak sempat nak sejuk bekukan sebab Adam lepas geram.

Kek Lobak Merah (Carrot Cake)



Kek ni dibuat sempena hari jadi abah Nina dan Adam. Dah menjadi tradisi kami sekeluarga setiap kali menyambut hari jadi mesti ada kek sebiji untuk bergambar kenang-kenangan. Resepinya diambil daripada Kak Bariah Cairo. Dulu-dulu suka sangat makan kek ni, tapi tak pernah buat. Oleh kerana kek yang dijual disini sangat tinggi keraguan halalnya, maka nilah masa nak tunjuk bakat. Sesiapa yang nak mencuba, silakanlah. Caranya sangat mudah dan rasanya sangat sedap.

Bahan-bahan:
1 cawan gula halus
1 cawan minyak sayuran/mazola (saya ganti dengan butter)
3 biji telur
1 sudu teh vanilla
1 1/2 cawan tepung gandum/serbaguna
1 sudu teh soda bikarbonat
1 sudu teh serbuk penaik
1 sudu besar serbuk kulit kayu manis ( saya gantikan dengan jus limau sebab saya tak suka perasa kulit kayu manis)
1 cawan lobak merah yang dah diparut (tapis airnya dan perah sedikit, jangan terlalu kering)
1/2 cawan kacang walnut yang dah dihiris (saya gantikan dengan badam/almond hiris dan coklat urai)
1/2 sudu teh garam halus

Cara-cara:
Panaskan oven 175 darjah c.
1. Campurkan 4 bahan teratas dan pukul sehingga kembang @ ringan.
2. Campurkan tepung, serbuk penaik, soda bikarbonat, garam, dan jus limau.
3. Masukkan tepung ini kedalam campuran gula yang telah kembang tadi, gaul rata.
4. Masukkan pula lobak merah yang telah diparut dan coklat urai.
5. Bakar selama 45 minit atau sehingga masak. ( cucuk dengan lidi, jika tidak melekat itu tandanya telah masak)

p/s. Long, cuba jangan tak cuba sedap ni!
Saya belah dua kek tu, lepas tu sapu jem berries dan tangkupkan semula. Bertambah sedap tapi sesiapa yang tak suka manis jangan isi.