Tuesday, August 31, 2010

Kuih Kacang Hijau @ Rengas @ Kasturi

Salam,

Setelah sekian lama saya mencuba akhirnya berjaya juga membuat kuih kacang hijau yang cantik dipandang dan sedap dimakan. Kuih ini antara kuih Melayu kegemaran saya. Banyak kali dah mencuba sebelum ini tetapi tidak pernah sempurna. Akhirnya berkat perkongsian ilmu di alam cyber saya mencari beberapa resipi kuih ini dan membandingkan bahan-bahan yang digunakan serta cara membuatnya. Hasilnya saya membuat versi saya sendiri dan menjadi. Sempat juga memberi jiran-jiran sebagai juadah berbuka puasa dan mereka berpuas hati dengan rasanya. Alhamdulillah.


rupa kuih kacang hijau selepas digoreng

sebelum dicelup tepung

adunan kuih kacang mesti pekat begini supaya senang dibentuk

Resipi

Bahan-bahan
1 cawan kacang hijau (rendam terlebih dahulu anatara 3 hingga 5jam)
1/2 cawan gula pasir/putih
5 sudu besar gula merah atau gula perang
5 sudu besar kelapa parut
4 sudu besar tepung gandum atau tepung serba guna
Air untuk merebus kacang
Minyak untuk mengoreng

Bahan untuk mengoreng
3/4 cawan tepung beras
1/3 cawan tepung gandum
2 sudu besar tepung tempura(jika tiada gantikan dengan tepung jagung)
Air sejuk secukupnya
secubit garam
sedikit serbuk kunyit (untuk warna kuning)

Cara-cara:

1. Rebus kacang hijau hingga kembang dan kering airnya.
2. Masukkan gula, gula merah, kelapa parut, tepung gandum dan kacau sehingga sebati dan menjadi adunan yang pekat dan liat.
3. Sejukkan dulu adunan sebelum dibentuk. Bagi sesiapa yang ingin mendapat bentuk bulat yang sama, gunakanlah apa2 acuan berbentuk bulat. Size kuih terpulang kepada citarasa masing-masing.
4. Campurkan semua bahan untuk membuat celupan untuk mengoreng. Isi air sedikit demi sedikit untuk mendapat adunan yang tidak terlalu pekat atau terlalu cair.
5. Panaskan minyak, celup kuih kacang hijau dalam adunan untuk mengoreng dan goreng sehingga berwarna kekuningan.
6. Angkat dan sedia untuk dimakan.

Selamat mencuba.

No comments: